Jumaat, 10 Jun 2011

PERANG CANDU PERTAMA/PERANG INGGERIS-CHINA PERTAMA (1839-1842)

Faktor-faktor meletusnya perang candu pertama ialah:

1)      KONSEP KEBUDAYAAN DAN PRINSIP PERSAMAAN TARAF YANG  BERTENTANGAN.

·         Kosep hubungan antarabangsa Negara China dengan Negara barat adalah bertentangan.

·         Negara China menganggap negaranya sebagai Chung Kuo atau pusat tamadun dunia yang termakmur dan maju. Justeru itu orang China menggelar negaranya sebagai Middle Kingdom atau Kerajaan Tengah.

·         Maharaja China pula menganggap dirinya sebagai anak syurga dan mendapat mandat memerintah dari syurga serta pemerintah Universal.

·         Sementara itu, Negara-negara lain di dunia dianggap mempunyai kedudukan yang lebih rendah daripada Negara China. Negara asing diwajibkan membayar ufti kepada Negara China tiga tahun sekali. Orang China menganggap orang barat sebagai orang gasar(fanlen) atau barbarian dan hantu-hantu asing(fan kwae).

·         Justeru itu, Negara China tidak ingin mengadakan hubungan diplomatik atas dasar persamaan taraf. Negara China menganggap semua duta barat sebagai pembawa ufti yang harus Koowtow dihadapan Maharaja China.

·         Negara-negara Barat seperti Britain pula mengamalkan konsep masyarakat antarabangsa di mana semua Negara yang berdaulat mempunyai taraf yang sama.

·         Dalam usaha menjalinkan hubungan diplomatik dengan Negara China, kerajaan Britain telah menghantar beberapa utusan ke Negara China untuk mendapatkan layanan yang sama berdasarkan perinsip persamaan taraf.

·         Antara tahun 1793-1834, Britain telah menghantar tiga utusan ke Peking untuk menjalinkan hubungan diplomatik dan perdagangan dengan Negara China. Utusan ini diketuai oleh George Macartney (1793). Lord Amhest(1896) dan John Napier(1834).

·         Kesemua utusan ini gagal kerana utusan kerajaan British enggan melakukan adat Koowtow kerana perbuatan ini bertentangan dengan adat Inggeris. Orang Inggeris juga tidak dibenarkan berhubung secara langsung dengan pengawai-pengawai kerajaan China. Mereka mesti berhubung dengan Co-Hong. Keadaan ini menambahkan lagi ketidakpuasan di kalangan British.



2)      FAKTOR PERDAGANGAN.

·         Negara China dan Negara-negara Barat terutamanya British mempunyai konsep perdagangan yang berbeza.

·         Perbezaan konsep perdagangan antara Negara China dengan pihak barat telah menyebabkan hubungan perdagangan antara Negara China dengan Negara Barat berada dalam keadaan tegang.

·         Kerajaan Negara China lebih mementingkan sektor ekonomi sara diri dan mengabaikan terus perdagangan antarabangsa.

·         Justeru itu, kerajaan China enggan menjalinkan hubungan perdagangan dengan Negara Barat atas alasan segala keperluan dalam negaranya telah mencukupi. Ini bermakna Negara China tidak memerlukan barangan barat.

·         Orang-orang China juga menganggap perdagangan adalah satu pekerjaan yang hina berdasarkan falsafah utama mereka iaitu confucious.

·         Pandangan orang-orang China ini adalah bertentangan sama sekali dengan konsep perdagangan yang diamalkan oleh oleh negara-negara Barat.

·         Orang-orang Barat terutamanya British mengamalkan dasar perdagangan bebas.

·         Negara-negara barat terutama British berpendapat perdagangan antarabangsa adalah perlu untuk mendapatkan bahan mentah dan pasaran untuk kilang-kilang perindustrian yang semakin bertambah akibat Revolusi Perindustrian.

·         Di samping itu, terdapat permintaan yang tinggi terhadap teh dan sutera China di pasaran Eropah.

·         Dalam keadaan ini wujudnya perdagangan sehala dan imbangan perdagangan yang tidak menguntungkan British.

·         Perasaan tidak puas hati saudagar-saudagar British semakin memuncak dengan tindakan kerajaan mengenakan pelbagai sekatan ke atas pedagang asing melalui dekri yang dikeluarkan pada tahun 1757. Antara sekatan perdagangan tersebut ialah orang asing tidak dibenarkan berdagang di semua pelabuhan China kecuali pelabuhan Canton.

·         Sekatan perdagangan ini merupakan faktor terpenting meletusnya perang Candu 1.



3)      KONSEP PERUNDANGAN YANG BERTENTANGAN

·         Konsep undang-undang barat dan China yang bertentangan memburukkan lagi hubungan antara pihak British dengan Negara China.

·         Mengikut system perundangan China, seseorang itu dianggap bersalah sehingga ia dapat membuktikan yang ia tidak bersalah. Tafsiran ini bertentangan dengan konsep undang-undang barat di mana seseorang itu dianggap tidak bersalah selagi kesalahannya tidak dibuktikan.

·         Undang-undang China adalah berasaskan tanggungjawab kumpulan, dimana sekiranya orang yang melakukan sesuatu kesalahan tidak dapat dicari maka kesalahan tersebut terpaksa dipikul oleh orang lain yang berkaitan dengannya. Tafsiran ini bertentangan dengan undang-undang barat yang berpegang kepada konsep kesalahan individu adalah tanggungjawab individu.

·         Sementara hukuman yg dijatuhkan oleh kerajaan China dianggap tidak adil dan tidak berperikemanusiaan iaitu dengan cara dicekik sampai mati. Undang-undang China mewajibkan nyawa mesti dibayar dengan nyawa.

·         Hubungan antara China dengan Negara-negara Barat menjadi semakin buruk apabila kerajaan China menguatkuasakan peraturan bahawa orang asing yang terlibat dalam kes jenayah di China akan dibicara dan diadili mengikut undang-undang China.

·         Pertentangan perundangan antara Negara China dan barat dapat dilihat dalam beberapa peristiwa yang tercetus sehingga abad ke-19. Antaranya:

                                i.            Peristiwa Lady Hughes yang berlaku pada 24 November 1784. Seorang kelasi kapal tersebut dituduh menyebabkan kematian dua orang dan mencederakan seorang Cina telah dicekik sampai mati tanpa perbicaraan setelah diserah oleh kerajaan British.

                              ii.            Peristiwa Terranova pada tahun 1821. Terranova seorang berbangsa Itali yang bekerja sebagai kelasi kapal dagang USA telah dihukum geletek dan cekik sampai mati atas tuduhan menyebabkan kematian seorang wanita Cina(EMILY).

                            iii.            Peristiwa Lin Wei His pada 12 Julai 1839. Lin Wei His seorang penjual buah-buahan di Bandar Kowloon telah dipukul sehingga mati oleh sekumpulan kelasi kapal British yang sedang mabuk. Pihak China telah meminta pesalah tersebut diserahkan kepada mereka. Pihak British enggan berbuat demikian, sebaliknya ketiga-tiga anak kapal tersebut telah dibicarakan di makhamah tentera mengikut undang-undang British. Mereka dijatuhkan hukuman denda f50 dan tiga bulan penjara. Peristiwa ini menyebabkan hubungan antara pihak China dan British tegang.



4)      MASALAH CANDU

·         Masalah candu ini timbul akibat daripada pertentangan konsep perdagangan antara Negara China dan Barat.

·         Negara China mengamalkan perdagangan yang konservatif iaitu tidak memerlukan barangan luar kerana segala keperluan boleh didapati dalam negaranya.

·         Perdagangan sehala ini telah menyebabkan pengaliran masuk wang emas dan perak dengan banyaknya ke Negara China. Ini amat menguntungkan Negara China. Wang emas dan perak ini disimpan oleh kerajaan China sebagai sumber kekayaan.

·         Sedangkan pihak British pula amat memerlukan teh dan sutera China sedangkan barangan British tidak diperlukan oleh orang-orang China. Ini kerana anggapan orang-orang China bahawa barangan ini dihasilkan oleh orang Barbarian. Ini menyebabkan matlamat British untuk menjadikan China sebagai pasaran barangannya telah gagal.

·         Bagi mengimbangi perdagangan dengan Negara China, pedagang-pedagang Inggeris telah membawa masuk candu secara haram ke Negara China terutamanya dari India dan Turki. Candu menjadi barangan yang diminati oleh orang-orang Cina.

·         Antara tahun 1821-1839, jumlah candu yang dibawa masuk ke Negara China telah meningkat dari 4244 peti kepada 40 200 peti. Ini menyebabkan imbangan perdagangan tidak menguntungkan Negara China. Nilai Candu yang diimport telah melebihi nilai segala eksport Negara China. Ramai pengawai China dan rakyat biasa menjadi penagih candu dan ini menyebabkan keruntuhan sosial.

·         Justeru itu, pada 10 Mac 1839, Maharaja China telah melantik Lin Tse Hsu sebagai pesuruhjaya ke Canton untuk menghapuskan perdagangan candu. Pada 18 Mac 1839, Lin Tse Hsu telah mengeluarkan satu titah perintah yang meminta semua orang asing menyerahkan candu kepada kerajaan China dan menandatangani surat akuan untuk tidak membawa masuk candu lagi ke Negara China.

·         Penguasa perdagangan British di Canton, Kapten Charles Elliot telah menyerahkan sebanyak 20283 peti candu kepada kerajaan China yang kemudiannya telah dimusnahkan.

·         Tetapi Kapten Elliot enggan menandatangani surat akuan untuk tidak membawa masuk candu ke China lagi. Akibat daripada itu, pertempuran telah meletus pada 3 November 1839 apabila kapten Elliot menyerang Chuenpi. Setiausaha luar Britain Lord Palmerstone telah menggunakan peristiwa candu sebagai alasan untuk mengisytiharkan perang ke atas Negara China pada 31 Januari 1840.































SYARAT-SYARAT PERJANJIAN NANGKING, 1842

       I.            Lima buah pelabuhan iaitu Canton,Amoy,Foochow,Ningpo dan Shanghai dibuka kepada kuasa-kuasa asing. Pedagang-pedagang British serta isteri dan anak-anak mereka dibenarkan tinggal tanpa diganggu dan berdagang tanpa sebarang sekatan di kelima-lima buah pelabuhan tersebut.

    II.            Hong Kong diserahkan kepada pihak British.

 III.            Sistem monopoli perdagangan Cohong serta sekatan-sekatan perniagaan dihapuskan. British serta pedagang-pedagang asing bebas berdagang dengan sesiapa sahaja.

 IV.            Negara China membayar ganti rugi sebanyak $21 juta iaitu $12 juta sebagai ganti rugi peperangan, $6 juta sebagai ganti rugi rampasan candu dan $3 juta sebagai penjelasan hutang Cohong kepada pedagang-pedagang British.

    V.            Hubungan berdasarkan persamaan taraf antara Negara China dengan Britain diakui. British dibenarkan menubuhkan pejabat Konsul di kelima-lima pelabuhan perjanjian tersebut untuk mengendalikan urusan perdagangan dan kepentingan British serta harta mereka di Negara China. Konsul-konsul dibenarkan mengadakan hubungan langsung dengan pengawai-pengawai China.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan